CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, October 10, 2011

Contohilah Ibn Sina


Kehidupan Ibnu Sina

___________________________________________________


IBNU SINA berkata,

Ketika aku mempelajari ilmu mantik (ilmu yang berasaskan akal fikiran) dan falsafah, aku tidak dapat tidur lena walau semalam dan tidak juga melakukan perkara selainnya pada siang hari. Aku menyediakan sebuah fail khusus dan bagi setiap bukti yang telah aku teliti, aku masukkan ke dalamnya. Aku memikirkan syarat-syarat premis sehinggalah masalah itu dapat aku tahkikkan.

Masalah itu (mantik dan falsafah) sering membingungkan aku, dan apabila aku tidak dapat menyelesaikannya, aku pergi ke masjid dan bersembahyang, berdoa dengan rendah hati kepada Allah, sehingga Dia membuka yang terkunci tadi untukku dan menjadikan yang sukar menjadi senang.

Di waktu malam, aku kembali ke rumah, menyalakan lampu, menumpukan diri untuk membaca dan menulis. Apabila aku rasa mengantuk atau letih, aku akan minum syarab (jus) agar tenagaku kembali. Kemudian aku teruskan membaca. Dan apabila aku tertidur, aku dapat melihat semua masalah dalam mimpiku, dan banyak persoalan menjadi jelas (terjawab) dalam tidurku. Aku teruskan begini sehinggalah semua ilmu dapat aku dalami dan fahami. Semua yang aku tahu ketika itu adalah sama seperti yang aku tahu sekarang, tiada aku menambahnya hingga hari ini.

Aku menguasai ilmu mantik, sains tabii dan matematik dan sekarang ilmu metafizik. Aku membaca buku Metafizik karya Aristotle, tetapi tidak memahaminya walaupun aku membacanya sebanyak empat puluh kali, sehingga aku menghafal seluruh isi kandungannya. Namun, aku masih tetap tidak memahaminya, hingga berasa putus asa dan berkata,

"Ini adalah buku yang tidak mungkin dapat difahami".

Tetapi pada suatu hari di waktu asar ketika aku berada di kawasan penjual buku, seorang penjual berteriak-teriak untuk menjual sebuah buku yang ada ditangannya. Dia menawarkan kepadaku, tetapi aku menolaknya kerana berasakan buku itu tidak berfaedah. Kemudian penjual itu berkata kepadaku, "Belilah, tuan punya buku ini sangat memerlukan wang dan kerana itu harganya murah. Aku akan menjualnya kepadamu dengan harga tiga dirham". Lantas aku pun membelinya. Nah! ia adalah buku Abu Nasr al-Farabi tentang metafizik karya Aristotle. Aku kembali ke rumah dan segera membacanya dan dalam sekejap waktu aku memahaminya kerana aku telah pun menghafal buku Metafizik. Aku berasa sangat gembira dan keesokan harinya aku banyak bersedekah kepada fakir miskin sebagai tanda kesyukuran kepada Allah Taala.
___________________________________________________


Oleh itu, sama-samalah kita mencontohi cara Ibnu Sina menuntut ilmuJika sesuatu ilmu itu sukar untuk difahami, segeralah berwuduk dan mengerjakan solat dan memohon dengan rendah hati kepada Allah agar dimudahkan segala kesukaran. 


اللهم افتح علينا حكمتك وانشر علينا من خزئن رحمتك يا ارحم الرحمين. رب اشرح لنا صدورنا ويسرلنا أمورنا واحلل عقدة من لساننا يفقهوا قولنا

Ya Allah, bukakanlah hikmahMu dan turunkanlah rahmat dari khazanahMu itu kepada kami wahai Tuhan, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.Ya Allah, lapangkanlah dada kami dan mudahkanlah urusan kami serta lepaskanlah kekakuan lidah kami agar mereka mengerti perkataan kami.